Muslimin yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita diberkati di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah Jumaat pada hari ini ialah: “KUDRAT DITUNTUT”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Pada 1 Mei setiap tahun kita akan menyambut Hari Pekerja atau Hari Buruh. Hari yang memperingati tentang kejayaan ekonomi dan sosial bagi golongan pekerja. Seorang pekerja ataupun buruh ialah mereka yang bekerja dengan menerima upah atau ganjaran dalam pelbagai bentuk, sama ada ganjaran itu tinggi atau rendah, berpangkat atau tidak, hakikatnya kita semua adalah pekerja. Kita bekerja berdasarkan matlamat yang sangat penting iaitu membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju dan terbaik kepada cemerlang.
Justeru, kudrat pekerja dituntut demi menjamin kecemerlangan dan kemajuan sesebuah negara di masa depan. Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah cara kita untuk membawa perubahan menuju kecemerlangan ini?.Mimbar ingin menegaskan bahawa kecemerlangan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih, tidak datang melayang tanpa tekad dan azam yang kuat. kecemerlangan seluruh warga pekerja memerlukan cara tersendiri untuk mencapainya. Selari dengan ajaran Islam, Allah SWT telah menegur umat manusia supaya berani membuat perubahan dalam semua aspek kehidupan. Sikap ini dikenalpasti memajukan lagi prestasi dan kualiti keinsanan seseorang.
Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 11:
Maksudnya: “Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Kecemerlangan sesebuah organisasi terletak pada aset utamanya iaitu modal insan, modal insan mestilah berilmu, memiliki kemahiran yang bersesuaian dan berfikiran strategik supaya sentiasa relevan dengan peredaran masa dan perubahan persekitaran. Perkhidmatan yang melangkaui jangkaan pelanggan adalah salah satu petanda positif. Pekerja mesti memiliki kemahiran yang bersesuaian bagi menghadapi cabaran semasa, tenaga kerja yang releven adalah satu daripada cabaran terbesar yang dihadapi oleh perkhidmatan masa kini.
Sebagaimana yang dimaklumkan bahawa tahap prestasi pekerja di negara ini amat membanggakan dan menuju sasaran ke sepuluh terbaik di dunia, namun penambahbaikan dari semasa ke semasa amatlah perlu bagi memperbaiki segala kelemahan yang dikenal pasti bagi mengekalkan kecemerlangan. Sebagai pekerja muslim kita mestilah menerapkan nilai-nilai Islam dalam pekerjaan seperti bersifat jujur, amanah, taat, tekun, dedikasi, bijak dan lain-lain lagi. Kita juga mestilah mempunyai tekad dan keazaman bagi menghadapi hari esok dengan lebih baik dari hari ini. Islam sentiasa mendorong, memberi motivasi dan menganjurkan umatnya bekerja, berusaha dan beriktiar dengan penuh ketekunan bagi mencapai kesejahteraan dan kegemilangan dalam kehidupan seharian. Ingatlah bahawa perubahan menuju hasanah (kebaikan) bermula dari dalam diri setiap individu. Para pekerja yang kurang berkemahiran perlulah mempertingkatkan keupayaan mereka. Jika tidak, mungkin ada di kalangan mereka yang kurang berkemahiran ini tidak lagi diperlukan dalam perkhidmatan.
Sebagai pekerja kita juga mesti berusaha seberapa daya untuk memberi sumbangan kepada kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat, kita mestilah memainkan peranan sebagai rakan dalam mencapai kesejahteran bukan beban yang menyusahkan orang lain. Tingkatkan kemahiran, tambahkan pengetahuan hanya dengan cara inilah kita mampu untuk melaksanakan tugas sebenar sebagai khalifah di muka bumi ini. Allah SWT telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut oleh Islam.
Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi:
Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah azza wajalla sangat suka (bahkan cinta) jika seseorang daripada kamu, apabila melakukan kerja, maka dia bekerja dengan tekun.”
Umumnya manusia yang berperibadi cemerlang berjaya menyempurnakan tugasnya berdasarkan kekayaan ilmu pengetahuan, penghayatan dan pengamalan ilmunya serta melaksanakan tugas yang sentiasa mencapai atau melepasi ukuran cemerlang. Mereka juga digambarkan melalui tingkah laku yang sentiasa berhemah, berbudi pekerti mulia, dan menerima tanggungjawab sebagai amanah sebagaimana firman Allah SWT
dalam surah al-Kahfi ayat 103-105:
Maksudnya: “Katakanlah: Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang yang rugi amal-amal perbuatannya?. Orang yang sia-sia usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul pada apa yang mereka lakukan. Merekalah orang yang ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan pertemuan dengan-Nya; maka gugurlah amal-amal mereka; maka Kami tidak akan memberi timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari Kiamat kelak.”
Berdasarkan maksud ayat ini dapat difahami ‘mereka yang rugi’ itu termasuklah mereka yang tidak amanah. Sifat amanah adalah pakaian khalifah Allah SWT. Sebagai khalifah kita bertanggungjawab mengurus alam dan segala isinya supaya manfaat dan keberkatannya dapat dinikmati. Justeru, bagi memakmurkannya kualiti pengurusan dalam pelbagai aspek kehidupan sangat diperlukan. Kualiti tersebut adalah tuntutan bekerja secara profesional melalui perancangan yang strategik dari sudut masa, wang dan tenaga yang kesemuanya berteraskan nilai-nilai amanah dan integriti. Rasulullah SAW adalah contoh seorang pekerja dan pengurus yang unggul berkeperibadian tinggi yang sentiasa berusaha melakukan perubahan untuk maju dalam sektor pekerjaan.
Mimbar ingin mengingatkan bahawa sebagai individu yang menjadi warga kepada organisasi kita tidak dapat lari daripada menerima kesan perubahan ini. Jika kita tidak cepat bertindak menyesuaikan diri dengan perubahan ini dikhuatiri kita tidak akan mampu menyampaikan perkhidmatan seperti yang dituntut oleh masyarakat luar yang telah berubah mengikut persekitaran.Ingatlah bahawa bagi melahirkan organisasi yang gemilang, individu yang menggerakkan organisasi perlulah terlebih dahulu melakukan perubahan kearah kecemerlangan.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mimbar mengajak saudara dan jemaah sekalian, marilah kita muhasabah diri, sejauhmanakah kedudukan kita dalam dunia pekerjaan ini?. Adakah kita telah membawa perubahan kepada diri, keluarga, organisasi, negara dan kepentingan agama kita?. Kita sebagai pekerja hendaklah bersyukur dan meneruskan usaha ke arah perkhidmatan cemerlang, bekerja dalam konteks amal soleh dan nilai-nilai murni bagi memastikan perubahan yang lebih positif terus dicapai.
Sekali lagi mimbar menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya golongan pekerja, bersempena Hari Pekerja 2011 yang bertemakan: Pekerja Merealisasikan Tranformasi Negara, marilah sama-sama kita menanam tekad dan azam menghayati tujuan bekerja menurut Islam. Tingkatkan usaha ke arah yang terbaik, sentiasa memperbaiki prestasi kerja, berusaha melaksanakan pelbagai tugas, mempunyai sifat-sifat positif terhadap diri dan pandangan pihak lain, bersedia menerima teguran, saling menghormati dan bertolak ansur dan akhirnya peka kepada kehendak pelanggan serta perubahan persekitaran. Mudah-mudahan dengan cara ini segala kerja dan usaha kita diberkati dan diredai oleh Allah SWT. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam
surah at-Taubah ayat 105:
Maksudnya: “ Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah SWT. dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah SWT. yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan